TULANG BELAKANG...pekerja KNK Manufacturing adalah nadi penggerak syarikat itu.
Biarpun tidak mendapat keuntungan besar, ia sudah memadai baginya. Setidak-tidaknya, keuntungan menjual jam tangan dapat menampung duit poket harian.
Selepas berjaya mengumpul sedikit modal, minatnya menerokai dunia perniagaan semakin melebar. Meskipun belum tamat pengajian, anak muda ini mula menjual batik dan songket sehingga mampu membuka butik di Kuala Lumpur.
Melihat hasil perniagaan diusahakan, Mohd Hafizuddin Haji Mustafar, 25, ingin mencuba sesuatu yang baru.
Minat mendalam dalam bidang perniagaan akhirnya membawa pemegang Ijazah Pengurusan Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur ini ke Hong Kong bagi mendalami ilmu batu bata berkunci (interlocking bricks).
“Waktu itu, semangat saya sangat kuat, lebih-lebih lagi bila terdengar ada benda baru boleh diperkenalkan. Bayangkan saja, waktu itu ilmu di dada masih tipis, tetapi saya mengambil risiko untuk mencuba perniagaan terbabit.
“Lagipun, konsep batu bata berkunci belum diperkenalkan di Malaysia. Waktu itu, saya sanggup berulang alik dari Malaysia ke Hong Kong hanya untuk mempelajari perniagaan itu,” katanya.
Bukti kesungguhannya, Hafizuddin atau lebih selesa di sapa Din sanggup menjual butik batiknya hanya untuk mengumpul wang bagi mempelajari perniagaan terbabit. Sebanyak RM25,000 diperoleh dan menjadi pemangkin bagi meneruskan cita-citanya.
Kini, siapa sangka anak jati Pantai Batu Buruk, Terengganu itu bergelar Pengarah Urusan KNK Manufacturing Sdn Bhd khusus dalam penyediaan bangunan menggunakan sistem binaan pasang siap.
“Sangat mencabar. Ditipu rakan kongsi yang paling saya percaya sehingga kerugian hampir RM1 juta dan membuatkan perniagaan ini hampir berkubur antara pengalaman pahit saya.
“Lagipun, bukan mudah mencuba sesuatu yang baru. Lebih-lebih lagi bila kekurangan modal, ditambah pula duit syarikat dibawa lari. Macam-macam dugaan perlu saya tempuhi.
“Saya hampir berputus asa berikutan apa yang saya usahakan punah begitu saja hanya kerana seorang individu. Mujur ibu bapa memahami serta tidak putus-putus memberi semangat kepada saya,” katanya.
Berikutan penipuan itu, Din menanggung beban hutang yang banyak hingga memaksanya mengeluarkan wang simpanan, menjual rumah dan kereta Mercedes miliknya semata-mata untuk melangsaikan pembayaran dan meneruskan perniagaan.
“Saya menjual segala aset penting seperti perniagaan kecil yang saya usahakan selama itu hanya untuk mencari dana bagi menampung segala kos.
“Saya juga terpaksa bermalam di dalam kereta berminggu-minggu kerana tiada rumah untuk dituju. Begitupun, hasil semangat kental dan dorongan orang tua, saya cuba mencari jalan penyelesaian untuk meneruskan perniagaan.
“Turun naik syarikat besar bagi mencari dana dan menjual produk menjadi kerja tetap saya walaupun bergelar pengarah urusan. Waktu itu, tiada apa perlu saya malukan kerana yang lebih penting ialah perniagaan ini kembali bernyawa,” katanya.
Seakan-akan diatur, pertemuan dengan beberapa usahawan berjaya menjadi pendorong terbaik kepada Din, sekali gus membuka ruang untuk syarikatnya kembali beroperasi.
Kini, KNK Manufacturing memiliki aset bernilai hampir RM3 juta. Menerusi perniagaan batu bata berkunci, Din memiliki sebuah kilang mengeluar dan membekalkan bahan binaan terbabit di Rawang, selain bangunan pejabat di Wangsa Maju.
Bercerita mengenai batu bata terbabit, Din menjelaskan, ia adalah bahan baru yang cuba diperkenalkan di negara ini. Menariknya, konsep batu bata berkunci adalah lebih murah berbanding cara penyediaan batu bata konvensional.
“Ini adalah satu sistem binaan pasang siap. Ia dibuat di kilang dan hanya perlu dipasangkan untuk dijadikan sebuah bangunan. Selain itu, ia menjimatkan kos kerana tidak perlu tampalan simen.
“Seperti membuat sesebuah bangunan, tidak kira rumah atau pejabat, penggunaan sistem ini ternyata lebih cepat. Ia juga tidak memerlukan tiang dan struktur rangka, malah turut memberi kesejukan kepada sesebuah bangunan,” katanya.
Antara projek pertama menggunakan kaedah itu adalah bangunan sarang burung di Seremban yang didirikan seakan-akan sebuah banglo, selain beberapa sekolah serta banglo di sekitar Selangor
Selain membekalkan produk terbabit, syarikat dimiliki sepenuhnya 100 peratus Bumiputera ini juga memegang lesen kontraktor kelas A, sekali gus berperanan menjalankan bidang perniagaan seperti kejuruteraan awam, pembinaan bangunan dan mekanikal.
Membuktikan syarikatnya antara syarikat ‘orang Melayu’ yang berdaya saing, KNK Manufacturing memenangi tender mendirikan beberapa sekolah, antaranya Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bentong, Pahang, SRK Ahmad, Pekan, Pahang dan terbaru Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal, Kajang, Selangor bernilai RM22 juta.
Tidak hanya memberi tumpuan terhadap dunia pembinaan, Din turut mempunyai beberapa syarikat kecil, antaranya Mussan Trading Sdn Bhdyang khusus dalam penjualan pelbagai sistem audio dan aksesori kereta serta OUR Gourmet Sdn Bhd yang menjual dan membekal kambing mentah serta kambing golek.
Mendengarkan kepelbagaian perniagaan dijalankan anak muda ini, Din masih mempunyai masa terluang bagi memenuhi hobinya. Dia yang masih bujang dan merancang berkahwin tahun depan, sangat meminati sukan lumba kereta. Untuk itu, dia memiliki sebuah Nissan Skyline R34 yang mempunyai kelajuan 800 kuasa kuda selain meminati bidang muzik.
Bagi mengharungi bidang perniagaan yang berisiko, Hafizuddin menjadikan Nabi Muhamad SAW sebagai idolanya. Malah, pemuda ini juga berusaha berkongsi rezeki bersama orang lain seperti ditunjukkan Rasullah SAW sebagai panduan untuk berjaya dunia dan akhirat.
Sasar jadi jutawan sebelum 2017
Apakah prinsip anda untuk berjaya?
Jangan mengalah dan mempercayai rezeki ada di mana-mana
Pendorong utama?
Ibu dan bapa yang banyak memberi sokongan tanpa berbelah bagi
Buku yang diminati?
‘Rich Dad, Poor Dad’ oleh Robert T Kiyosaki dan ‘The Secret of Live’
Aktiviti masa lapang?
Sukan permotoran, konvoi dan bermain muzik
Tokoh dikagumi?
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Makanan kegemaran?
Makanan Barat
Impian?
Bergelar jutawan sebelum usia mencecah 30 tahun
PROFIL
NAMA: Mohd Hafizuddin Haji Mustafar
UMUR: 25 tahun
TARIKH LAHIR: 13 Oktober 1987
ASAL: Pantai Batu Buruk, Terengganu
PENDIDIKAN: Ijazah Pengurusan Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengarah Urusan KNK Manufacturing Sdn Bhd
STATUS: Bujang
No comments:
Post a Comment